Kita perlu bertanya: apakah yang dituntut oleh Allah SWT untuk kita laksanakan. Dengan perlaksanaan tuntutan Allah SWT ini kita akan meraih kejayaan. Allah SWT telah menjelaskan di dalam al Qur’an bahawa yang Allah kehendaki atas diri kita adalah kita berusaha menjadi mukmin dan mujahid. Seorang mukmin adalah ‘yang benar dan teguh dalam keimanan kepada Allah SWT. Mujahid pula adalah ‘yang berjuang atau berjihad, dengan apa jua yang dimilikinya, untuk memperolehi keredhaan Allah’.
Jika kita telah melayakkan diri menjadi mukmin dan mujahid, Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Pengasih, akan membantu kita untuk terus meningkat ke stesen-stesen peningkatan diri yang lebih tinggi, di dunia dan di akhirat. Allah SWT telah menjanjikan perkara ini kepada mereka yang memiliki sifat dan kualiti iman and aktif melaksanakan jihad.
Di dalam surah al Hujurat, ayat 15, Allah SWT telah berfirman:
“Sesunggguhnya orang-orang yang beriman yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”
Anak-anak yang dikasihi! Kini kita telah jelas apakah misi hidup kita: menjadi mukmin dan mujahid. Dengan memulakan misi agung ini kita menyedari bahawa ilmu Islam sangat sedikit. Seringkali apabila kita ingin memulakan usaha untuk memperbaiki diri kita merasakan diri kita sangat lemah. Diri kita terlalu sayup dari kemuncak yang dihajati. Kita juga sedar bahawa kita tidak mampu untuk sampai ke kemuncak perhambaan (ubudiyyah) yang Allah SWT kehendaki. Rasa lemah dan ketidakmampuan sebegini adalah satu yang lumrah. Kita tidak boleh membenarkan rasa lemah dan serba kurang ini menjadi penghalang usaha kita untuk menghayati Islam sepenuhnya dan mencapai ketinggian keimanan yang sewajar menjadi misi hidup mukmin.
Kita perlu menjadikan setiap hari yang Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai modal untuk kita berjihad bagi meningkatkan kualiti diri kita. Dengan azam yang kuat dan peluang yang Allah SWT kurniakan insyaAllah kualiti diri kita akan meningkat sehari demi sehari. Walaupun ada hari ini kita terasa kebekuan, tidak meningkat. Diri kita tetap sebagaimana semalam juga, malah selalu juga kita bukan setakat tidak meningkat tetapi merosot. Kita tidak boleh membiarkan realiti diri ini menghalang pendakian kita dalam mujahadah kita. Teruskan pendakian! Walaupun kemajuannaya amat lambat. Jangan berhenti! Hakikatnya kita sedang membangunkan kepatuhan dan penyerahan diri kita kepada Allah SWT dan yang menghalanginya adalah nafsu kita yang sebelum ini telah terlalu lama dilayani dengan apa jua yang dikehendakinya. Kita telah menuruti hawa nafsu yang datang dalam bentuk pelbagai kehendak sehingga timbul kesedaran untuk kembali kepada ubudiyyah yang sebenar dan mujahadah yang selama ini tidak diusahakan baru kita gerakkan. Usaha inilah yang dinamakan ‘tazkiyatun nafs’ atau penyucian diri.
Tazkiyah atau program rawatan dan pembangunan diri ini adalah satu proses yang akan dilalui langkah demi langkah secara ansur maju. Pembangunan diri tidak akan dapat dilaksanakan melalui satu lompatan. Diri kita tidak mungkin dapat dibersihkan dengan usaha sekelip mata. Janganlah kita sekali-kali mengharapkan perubahan diri berlaku dalam masa sehari, seminggu mahupun sebulan. Pembangunan dan penyucian diri ini akan mengambil masa yang lama kerana keseluruhan pembangunan ini berdasarkan perubahan dan penyucian HATI yang mengandungi segala kekuatan dan pusat keinsanan manusia. Segala sudut hati dan segala bentuk rasa/perasaan dalam hati perlu dirawat dan dibetulkan hubungannya dengan kehendak Allah SWT. Ini adalah kerana proses membangunkan iman itu adalah ‘PROSES MENYESUAIKAN DIRI UNTUK MENCINTAI APA YANG ALLAH CINTAI, DAN MEMBENCI APA YANG ALLAH BENCI’. Tahap rasa hati sebegini menuntut kesungguhan dan keteguhan diri untuk melalui proses tazkiyah ini.
Di dalam sirah Rasululllah SAW kita dapati apabila seseorang itu memeluk Islam, Rasulullah SAW tidak mempertanggungjawabkan atas diri untuk melakukan segala-galanya sekali gus. Sebaliknya Rasulullah SAW mentarbiyyah dia dengan apa yang difardhukan yang paling minima, dan seterusnya barulah dibangunkan di atas kekuatan amal yang fardhu ini dibangunkan yang melengkap dan menyempurnakannya.
Dalam proses penyucian dan pembangunan diri ini, apa yang perlu diberikan perhatian serius adalah cita-cita kita dan janji kita kepada Allah SWT sentiasa terpelihara.
Untuk kita kekal di dalam mujahadah ini kita perlu sentiasa ingat tawaran Allah SWT kepada mereka yang beriman dan kita perlu memperingatkan diri kita supaya sentiasa berusaha memenuhi syarat-syarat jual beli dengan Allah SWT ini. Selagi kita memelihara akujanji kita dengan Allah dalam jual beli ini maka kita akan sentiasan kekal dalam jalan kehidupan yang menuju keredhaan Allah SWT.
Allah SWT telah berfirman dalam Surat at Taubah, ayat 111:
“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang beriman, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulahlah kemenangan yang agung”
Apabila kita telah menyerahkan diri kita kepada Allah SWT dengan iltizam (komitmen) yang tinggi, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membelanjakan segala-gala yang kita miliki: masa,tenaga, harta dan sebagainya, dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Kita mungkin merasakan bahawa ini satu usaha yang SEMPURNA dan sesuatu yang sempurna sangat sukar untuk dicapai. Hakikat sukarnya mencapai kesempurnaan ubudiyyah dan kemuncak keimanan ini perlu FAHAMI dan DIINSAFI. Walaupun begitu kesempurnaan adalah sesuatu yang perlu direalisasi. Sekiranya kesempurnaan itu mudah dicapai maka ianya bukanlah kesempurnaan. Dengan kita sentiasa berusaha memelihara syarat jual beli kita dengan Allah SWT, melalui usaha membelanjakan masa, tenaga dan harta kita demi untuk mendapat redha Allah dan syurga-Nya, maka kita sentiasa di dalam jihad di jalan Allah. Melalui mujahadah inilah hati kita dapat kita rawat dan dibersihkan.
0 comments:
Post a Comment