Wednesday, June 13, 2007

KE ARAH KESEDARAN ISLAM SEMULA

KE ARAH KESEDARAN ISLAM SEMULA

Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.


Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.


Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah 'Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.Undang-undang ini datangnya daripada "code" orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menye­babkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menja­lankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.


Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).

Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.

Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegakkan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya berdasarkan tauhid.


Pendewaan Nilai-nilai Barat.

Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.

Terjemahannya:

Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan

(Surah At Taubah ayat 31)

Mujahid Sa'id Hawwa telah memberikan penjelasan dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meri­wayatkan bahawa 'Adi Bin Hatim at-Ta'i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. 'Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: "Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka". Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada 'Adi: "Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyemba­han kepada mereka (pendita-pendita) tersebut."


Mujahid Sa'id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.


Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah .Tidak kurang juga yang ada menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :

Terjemahannya:

"Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzilkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya."

( Surah an-Nisa': ayat 60.)

Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.


Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir 'Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha'una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.


Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam .Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :

Terjemahannya:-

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya. “

(Surah ali ‘Imran ayat 19)

Terjemahannya:

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasih dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pegampun lagi Maha Penyayang. “

(Surah al Maa-idah ayat 3)

Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :


Terjemahannya:-

"Sesiapa yang mencari selain daripada al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi."

(Surah Ali 'Imran: ayat 85).


Terjemahannya:-

" Maka (Zat yang demikian) itulah Allah Tuhan kamu yang sebenarnya; maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran) ? “

(Surah Yunus: ayat 32).

Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:

Terjemahannya:-

“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang(orang-orang yang tidak bersalah) , kerena (membela) orang-orang yang khianat

(Surah An Nisaa’ ayat 105)

Terjemahan:

"Dialah yang mengutuskan RasulNya (dengan membawa) pertunjuk (al Quran) dan dengan Din yang benar untuk dimenangkan Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai "

(Surah at-Taubah: ayat 33.)

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Se­sungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah disela­puti dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri. Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T.

Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih.

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T, kepada Rasulullah S.A.W. serta yang difahami oleh para sahabat r.a. serta pengikut-pengikut mereka.

Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da'wah Wa ad-Da'iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, peru­ndangan, 'aqidah, 'ibadah dan haluan hidup individu, masyarakat dan negara.


Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.

Kembali Kepada Generasi Awal


Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma'alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-'Alam Bi Inhitat al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. sahaja. Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah S.W.T. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah S.W.T. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.


Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tar­biyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. berpandukan wahyu Allah S.W.T. sebagai sumber pembentukan hingga lahir peri­badi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan .Mereka hanya bermatlamat­kan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah S.A.W. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka faham bahawa orang-orang mu'min pasti diuji keimanan mereka. Firman Allah S.W.T:

Terjemahannya:

" Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji. "

(Surah al-Ankabut: ayat 2).


Generasi pertama Islam itu telahpun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah dite­gaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana'rif Haqiqah Islamina.

Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah


Kita tidak boleh memahami Islam hanya sekadar melihat sepintas lalu amalan hidup ummat yang mengaku Islam hari ini.Sekarang, Islam telah dikelirukan. Masyarakat Arab 14 abad yang lalu juga tidak dapat melihat kebenaran kerana kebenaran itu telah dikelir­ukan oleh sifat-sifat fujur yang menguasai manusia itu sendiri.


Raslullah S.A.W. telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul terhadap Islam, manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah S.W.T. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.


Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah S.W.T. kehendaki tentulah tidak dapat mela­hirkan natijah hidup Islam .


Kita tidak gemar untuk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan Ummah yang benar-benar menghayati Islam maka kita perlu memberi kefahaman serta kesedaran Islam sebenar. Kita tidak menafikan bahawa di sana-sini ada individu-individu melaku­kan amalan Islam, tetapi tidak dinyatakan dalam satu Jamaah.


Untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran itu kembali,maka perlu­lah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. atau yang disebut sebagai Madra­sah Rasulullah. Wallahu A'alam

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah