Sunday, April 12, 2009

HUBUNGAN YANG PERTAMA : IMAN KEPADA ALLAH S.W.T

Allah s.w.t telah meletakkan amanah Iman, iaitu tanggungjawab yang paling besar ke atas kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dengan Yang Maha Esa, Allah s.w.t, tempat bergantung dan menyerah diri dan segala sesuatu datangnya daripada Allah s.w.t. Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, adalah milik Allah s.w.t. Inilah hubungan yang pertama yang mesti lahir di dalam jiwa kita. Hubungan yang besar dan luas, seluas alam semesta ini. Ikatan perhubungan di antara yang dicipta ( makhluq ) dengan Yang Maha Pencipta ( Khaliq), Allah s.w.t.


Hakikat keimanan ini perlulah meresapi , menjiwai sehingga ianya sebati dalam lubuk hati. Inilah hakikat hubungan yang pertama yang dituntut oleh Allah s.w.t sehinggalah perhubungan ini dapat melahirkan keberkesananny di dalam kenyataan hdup kita. Ia juga merupakan titik permulaan hidup manusia. Ini bererti setiap perkembangan hidup kita itu mestilah terpancar daripada asas perhubungan yang bersih ini.


Sejarah hubungan ini telah bermula sejak terciptaya manusia yang pertama di muka bumi iaitu Nabi Adam a.s dan dari saat itulah bermulanya sejarah hidup manusia itu sendiri. Sejarah hidup manusia ini mestilah selaras dengan hakikat penciptaan manusia dan alam ini sepertimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t Yang Maha Pencipta danMaha Pengatur segala sesuatu. Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui untuk sampai kepada satu tahap kefahaman dan kesedaran yang sebenarnya tentang hakikat kejadian manusia dan pencipta alam ini. Maka perlunya manusia itu kepada taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t dalam serba kekurangan dan kelemahan itu tidak akan mampu untuk menyelami rahsia dirinya sendiri dan rashis di sebalik alam ini. Apa lagi untuk mengetahui sesuatu yang ghaib atau yang tersembunyi.


Oleh sebab itu rahmat dan nikmat kurniaan Allah s.w.t maka kita dipermudahkan untuk dapat berhubung dengan kebenaran yang hakiki, dengan Yang Maha Esa. Maka dengan itu diutuskan Rasulullah s.a.w sebagai pembawa berita gembira dan peringatan. Allah s.w.t telah mengutuskan rangkaian para Nabi dan Rasul dari sejak terciptanya manusia yang pertama sehinggalah kepada Rasul yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w, ada lah luntuk menyelamatkan manusia dari kegelapan ( kesesatan ) kepada keterangan ( kebenaran ). Setiap risalah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul adalah untuk menjelaskan hakikat kewujudan manusia di atas muka bumi ini iaitu untuk menegakkan kedaulatan ( kekuasaan ) Allah s.w.t di muka bumi ini sehinggalah terlaksananya perintah Allah s.w.t dan ajaran Allah s.w.t dapat menguasai kehidupan manusia keseluruhannya.


Di dalam al Quran banyak sekali diperjelaskan dan diperingatkan oleh Allah s.w.t kepada manusia akan kenyataan ini. Bahkan Allah s.w.t tidak segan atau jemu mengulanginya di setiap masa dan ketika terutama pada ayat-ayat yang diturunkan di Makkah. Inilah intisari yang terkandung di dalam al Quran al Karim. Ini merupakan persoalan pokok atau dasar di dalam Manhaj Tarbiyyah al Quran al Karim. Sekarang marilah kita dekati dengan beberapa ayat dari kitab suci tersebut: Firman Allah s.w.t :


Terjemahannya :-

Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan ( diri mereka sendiri )?. Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu ?; sebenarnya mereka tidak meyakini ( apa yang mereka katakan ).

( Surah ath Thuur : 35-36 )


Firman Allah s.w.t lagi :

Terjemahannya:

Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagi hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air ( hujan ) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui

( Surah al Baqarah : 21-22 )


Firman Allah s.w.t lagi :-

Terjemahannya :

Allah lah yuang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirihat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Yang demikian itu adalah Allah, Tuhan mu, Pencipta segala sesuatu. Tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu dapat dipalingkan ? Seperti demikianlah dipalingkan orang-orang yang selalu mengingkari ayat-ayat Allah.

( Surah al Mu’min : 61-63 )


Firman Allah s.w.t lagi :-

Allah lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang sebaik-baik, Yang demikian itu adalah Allah Tuhan mu, Maha Agung Allah, Tuhan semesta alam. Dialah Yang Hidup kekal, tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka sembahlah Dia dengan memurnikan ibadah kepada Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

( Surah al Mu’min : 64-65 )


Inilah hakikat seruan dan laungan setiap para Nabi dan Rasul yang datang silih berganti itu, kepada umat-umat mereka. Beginilah Allah s.w.t dengan limpah kurnianya meyakinkan kita akan hubungan kita dengan Nya adalah sesuatu yang sangat dihajati ( dharuri ). Tanpa terjalin hubungan ini hidup kita kosong, sesat , rugi semata-mata. Begitulah berhajatnya kita kepada Allah s.w.t.


Menyedari akan hakikat ini,maka kita telah membuat pilihan untuk menerima keseluruhan apa yang telah disarankan oleh Allah s.w.t kepada kita agar hubungan hati, pemikiran dan tingkah laku kita sentiasa lahir daripada hubungan yang fitrah ini. Inilah yang akan kita semaikan dan tanam di segenap ruang hati dan sanubari kita, supaya perhubungan ini sentiasa jelas dan rapat akan bertambah dekat (yakin ) dari masa ke semasa.


Allah s.w.t menjadikan tanggungjawab ini sebagai tanggungjawab bersama. Ia merupakan matlamat hidup bagi setiap orang yang beriman. Hubungan kita dengan Allah s.w.t itu perlulah sentiasa terjalin rapat sehingga rasa hati kita sebati dengan kehendak-kehendak Allah s.w.t. Kita perlu selaraskan rasa hati kita dengan kehendak syara’. Yang baik ialah yang dikatakan baik oleh syara’, yang buruk ialah apa yang dikatakan buruk oleh syara’.


Oleh itu kita perlu mendidik dan melatih diri kita untuk mengasisi kepada apa yang disuruh kasihkan dan membenci kepada apa yang disuruh bencikan. Kita membiasakan hati kita untuk suka dan menggemari apa yang disukai oleh Allah s.w.t serta membenci dan menolak apa yang dimurkai oleh Allah s.w.t. Setiap apa yang dikatakan mungkar itu hendaklah kita menolaknya kerana itu adalah kemungkaran dan yang makruf itu kita terima kerana itu adalah kemakrufan.


Inilah hakikat yang nyata bagi kita bahawa setiap kebenaran itu datangnya dari Allah s.w.t dan janganlah hati dan jiwa kita meraguinya. Di mana sahaja kita perlu merasakan perhubungan dengan Yang Maha Esa, yang mengatur semua urusan hidup.


Kita merasa bertanggungjawab pada diri kita dan saudara kita yang sedar dan insaf untuk mengujudkan suasana-suasana yang sentiasa memudahkan kita untuk mendekatkan hati kita kepada Allah s.w.t. Suasana yang dimaksudkan di sini ialah suasana yang Islamik, yang holeh sentiasa membantu kita untuk sedar dan insaf serta sentiasa bersedia mengambil Allah s.w.t sebagai Ilah dan Rabb bagi kita. Allah s.w.t tempat bergantung, tempat menyerah dan tempat mengharapkan sesuatu.


Kita perlu mengujudkan suasana yang menunjukkan keagungan Allah s.w.t, ke Esaan Allah s.w.t yang berkesan kepada hati kita untuk bertaqwa kepada Nya dan sentiasa berpegang kepada nilai yang telah ditentukan Nya.

Kita ingin melatih dan mendidik diri kita kepada melengkapi syarat-syarat keIslaman seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t atau dengan lain perkataan, syarat-syarat sebagai hamba Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenarnya, yang mampu melaksanakan tuntutan ‘Ubudiyyah tersebut.


Ini bererti kita perlu memiliki persediaan hati untuk memampukan kita melakukan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t serta menjauhi segala laranganNya. Hakikat perhambaan atau pengabdian ini hanya dapat lahir apabila jelas hubungan hati kita dengan Allah s.w.t sepertimana yang dapat kita lihat pada diri para Nabi dan para Rasul serta pengikut-pengikut ( umat-umat ) mereka yang setia itu. Setiap nilai hidup hendaklah kita hubungkan dengan syarat-syarat keIslaman ini hingga ianya menjadi sebati di dalam hati dan lahir pula dalam tingkahlaku di segenap bidang.


Kita perlu duduk bersama dengan saudara-saudara kita yang ikhlas hatinya, yang ada persediaan hati dan jiwa yang dikosongkan untuk menjalani didikan yang boleh membawa kita kepada matlamat yang suci murni ini iaitu untuk menerima kedaulatan Allah s.w.t Yang Maha Esa tanpa berbelah bagi atau menyekutukan Allah s.w.t dengan yang lain. Inilah tugas yang besar yang dipikulkan ke atas setiap dari kita. Kekuatan hubungan dengan Allah s.w.t sahajalah yang menjadi tenaga untuk menggerakkan hati dan rasa , pemikiran dan tingkah laku sejajar dengan syarat-syarat keIslaman ataupun hakikat perhambaan yang sebenarnya.


Inilah tenaga penggerak yang akan mencorak dengan corakan Allah s.w.t ( Sibghah Allah s.w.t ) walaupun di tempat yang sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap atau terang, susah atau senang. Bahkan di mana sahaja atau di setiap masa. Dalam keadaan apa sekalipun. Ini jelas kita dapati apabila kita dekati dengan sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang murni itu walaupun dalam suasana mereka terpaksa menghadapi berbagai ujian dan rintangan.


Proses pendidikan seperti inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ke atas diri para sahabat yang dikenali sebagai Generasi al Quran tersebut, sehingga lahirlah satu golongan yang beriman yang diiktiraf oleh Allah s.w.t sendiri. Mereka adalah menjadi ikutan kita semua. Contoh dari ikutan itu ialah keimanan mereka, tentang bagaimana mereka berhubung dengan Allah s.w.t dan Rasul Nya, tentang keyakinan mereka, cara berfikir dan contoh tingkah laku mereka . Ini semua menjadi contoh kepada kita. Kita perlu yakin dan jelas akan hakikat ini sekiranya kita ingin mengikuti jejak langkah mereka.


Jika mereka telah mendekati dengan proses yang pertama tadi sebagai titik tolak dalam melaksanakan ‘Ubudiyyah kepada Allah s.w.t, maka kita juga menerima hakikat ini sebagai suatu yang prinsip dan yang utama.

Kita perlu mendekati dengan didikan al Quran sepertimana mereka mendekati, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, yakin sebagaimana yang mereka yakin. Sehingga segala pemikiran dan tingkah laku kita selaras dengan kehendak Allah s.w.t. Selaras dengan contoh kita yang unggul tersebut. Itulah Generasi al Quran Yang Unik.


Wallah hu ‘alam.

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah