Friday, October 21, 2011

LangitIlahi.Com: Menjadi Mahasiswa Luarbiasa!




Petikan tulisan penulis di LangitIlahi.Com

Mahasiswa, apakah perasaan anda sekiranya di fakulti anda pelajar yang terbaik dikuasai oleh pelajar bukan Islam? Anda ambil perubatan, kejuruteraan, peguam, IT, Matematik, Statistik, Arkitek, dan sebagainya, lalu pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan meninggalkan pelajar Melayu Muslim. Pelajar dari UiTM dan dari pengajian Islam mungkin tidak merasai apa-apa dengan situasi ini. Seorang sahabat saya yang bertugas sebagai Pendaftar di sebuah IPTA menceritakan bahawa di universitinya semakin ramai pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan di fakulti walaupun bilangan mereka minoriti di kampus.

Singa Yang Ditikuskan?

Apakah sudah tidak ada lagi kualiti mahasiswa muslim yang hebat dan luarbiasa di kampus? Atau mereka sudah menjadi anak singa yang telah ditikuskan? Seorang sahabat saya saat belajar di kampus pada sekitar tahun 1996, belajar di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM dalam bidang Sarjana Muda Sains, Kimia. Sepanjang semester pelajar bukan muslim dinobat sebagai pelajar cemerlang kimia. Lalu beliau bertekad untuk memecahkan tradisi itu. Hujahnya mudah…

“Al-Islamu ya’lu wa laa yu’la ‘alaihi”
Ertinya : “Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya”


Lalu beliau memulakan aksi belajar yang luarbiasa, orientasi belajarnya jelas untuk Islam dan kerana Allah telah menjadi pemacu kerajinan dan kesungguhannya. Alhamdulillah, Allah izin beliau mendapat keputusan Kelas Pertama dan dinobatkan dengan Anugerah Mahasiswa Kimia Cemerlang Malaysia pada tahun 1996. Ya, ternyata masih ada “hero” ummat di persada menara gading, tetapi takkan beliau seorang sahaja? Soekarno ada berkata tentang orang muda, berikannya 10 orang pemuda, nescaya dunia dapat digegarkannya. Sudah adakah 10 pemuda “hero” ummat itu?

Ada pula yang merungut, saya bukan seorang yang genius seperti Albert Einstein, mana mungkin saya boleh menjadi saintis yang hebat. Saya bukan dari kalangan Imam Malik dan Imam Syafie, mana mungkin saya boleh menjejak langkah seperti mereka. Saya bukan seperti Ibnu Sina, seusia 9 tahun sudah menghafal Al Quran dan seusia 18 tahun sudah bergelar Doktor Di Raja. Apa lagi ya alasan-alasan yang kita ada..

Kita Punyai Kekuatan

Pemuda muslim, jangan gusar. Selagi mana dirimu bergelar mahasiswa, bererti Allah SWT telah memberimu kecerdasan dan keupayaan untuk mencipta kejayaan bagi umat ini. Maka belajarlah, berusahalah, doronglah jiwamu, asahlah potensimu, bersungguhlah sehingga titik peluh akhir dan bertempurlah dengan jiwamu untuk melawan kemalasan dan kerendahan matlamat.

Yakinlah, kita adalah para pemuda yang hebat dan luarbiasa! Tidakkah anda merasai kekuatan itu? Sungguh, kita pemuda yang kuat kerana 3 perkara:

1.Kita adalah ummat Nabi Muhammad SAW yang graduan dari “universiti” baginda SAW telah melahirkan para pemuda yang hebat dan luarbiasa. Ikuti jejak langkah para pemuda itu, hayati cara hidup dan peribadi mereka. Kita bukan kehilangan contoh tetapi para pemuda kita dipedaya dengan serangan pemikiran sehingga yang hebat itu ditampilkan kalangan bukan Islam. Sedangkan hakikatnya Islam tidak pernah kering dengan model kepemudaan yang luarbiasa! Sudahkah kita membaca kehidupan dan perjuangan mereka. Kehidupan mereka adalah merupakan jelmaan Al Quran yang berjalan kata Syed Qutb.

Pemuda dan mahasiswa islam, kita adalah orang-orang pilihan, masyarakat pilihan, intisari manusia, cream of the society dan yang terpenting kita adalah lambang kekuatan ummat dan amat diperlukan oleh umat untuk meneguhkan perjuangan Islam. Bagaimana mungkin kita menyamakan diri kita dengan pemuda atau mahasiswa biasa-biasa dan golongan yang suka bermain-main dan banyak tidur?

Mulai saat ini, mulalah merujuk kecerdasan, kepahlawanan, kecerdikan, keilmuan, kepimpinan dan kejatidirian para graduan ‘universiti” dari madrasah Rasulullah SAW. Mulailah mencontohi mereka, mencintai mereka, menirupakai gaya hidup mereka. Bumi ini sudah lama merindui pemuda luarbiasa ini memenuhi pelusuk bumi dengan jelmaan Al Quran yang berjalan.

2. Suasana kita di kampus amat kondunsif untuk kita cemerlang dalam pengajian. Segala prasarana, kewangan, tenaga pengajar, teknologi maklumat, peralatan bantuan mengajar, e-library dan segala macam kemudahan berada di hujung jari kita. Kesemua itu adalah alat untuk membantu kita berjaya. Malulah kita kepada adik-adik muslim di kem-kem pelarian di sempadan Kenya-Somalia. Sahabat saya yang bermisi mendidik berbakti di sana mengirimkan gambar mereka belajar dalam keadaan serba dhaif, menulis atas papan kayu beralaskan pasir tapi masih tetap semangat dan mereka berusaha menjelmakan Al Quran dalam kehidupan mereka. Sepatutnya peralatan dan kemudahan yang ada di sekeliling, kita kuasai untuk memenangkan Islam. Dan awas, jangan sampai dikuasai. Hari ini pemuda pemudi kita dikuasai oleh teknologi sehingga teknologi memandu jadual hidup mereka. Yang sedihnya teknologi sudah menjadi ideologi baru generasi Y hari ini. Ikuti tulisan http://langitilahi.com/4981/tm-beriman-dengan-internet-atau-berinternet-dengan-iman buat panduan kita menguasai teknologi berpaksikan Iman.

3. Islam memerlukan cerdik pandai untuk menjaga setiap penjuru Islam yang luas. Maka belajar dan kuasai walau apapun bidang anda. Islam tidak menyulitkan atau membebankan. Sebaliknya sebagai generasi kepimpinan masa depan, pilihlah bidang yang anda minati, hadapi, hayati dan nikmati. Banyak jalan untuk memasuki kota kaherah dan Shan’a. namun Nabi Yaaqub AS sentiasa berpesan kepada putera-puteranya, “Wahai anak-anakku, masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan.”

Demikianlah, kita adalah antara pejuang-pejuang umat yang dinantikan di sebuah lapangan yang luas dan pintu masuknya sangat banyak. Yang perlu pada diri kita adalah keyakinan, percaya diri, pengorbanan dan kesungguhan. Yang penting kita mulakan langkah untuk memasuki pintu itu, bukan sekadar memeluk tubuh dan berterusan memberi alasan.

Pintu penjuru Islam ini luas, perhatikan mereka ini…Ibnu Sina dinobatkan sebagai tokoh perubatan terhebat oleh barat, Ar Razi mengukuhkan Islam melalui kepakarannya dalam bidang farmaseutikal, Mimar Sinan (1538M) merupakan seorang arkitek yang merekacipta 360 struktur bangunan termasuklah 84 buah masjid, 51 buah masjid-masjid kecil, 57 buah sekolah, 7 buah madrasah untuk penghafal al-Quran yang dikenali sebagai darulkurra, 22 buah , 17 buah rumah api , 3 buah hospital, 7 buah jambatan , 48 buah rumah tumpangan, 35 tempat –tempat dan rumah penginapan yang besar, 8 buah bumbung melengkung dan 46 tempat takungan air / kolam mandi.

Sultan al Fateh terkenal dengan keluasan ilmu dan seni peperangan terhebat yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana komander perang. Al-Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari, Mohammad Bin Musa Al-Khawarizmi (Meninggal 840 M), dikenali di Barat dengan nama Algorizm, terkenal dalam bidang ilmu matematik. Beliau adalah pengasas kepada ilmu algebra, malah nama algebra diambil bersempena dengan nama buku beliau Al-Jabr wal-Muqabilah.

Cat Steven @ Yusof Islam membenarkan dakwah ini melalui lagu dan muziknya, As Syahid Hasan Al Banna berjuang bersama angkatan ikhwan musliminnya sehingga terbina para pemuda yang komited dengan Islam, Jamaluddi al-Afghani dan Muhamad Abduh tokor pemikir gerakan Islam moden, M. Umer Chapra (1 Februari 1933, Bombay India) tokoh ekonomi kontemporer Muslim yang paling terkenal pada zaman moden ini di timur dan barat. Buku beliau, Islam and the Economic Challenge, di deklarasikan oleh pakar ekonomi Amerika, Profesor Kenneth Boulding, sebagai analisis terhebat dalam kajian kecacatan kapitalisme, sosialisme, dan negara maju serta merupakan sumbangan penting dalam pemahaman Islam bagi kaum Muslim mahupun non-Muslim terhadap ekonomi Islam. Pak HAMKA ulama yang warak lagi disegani dari bumi Indonesia. Sheikh Yusof al-Qhardhawi tokoh umat yang sentiasa proaktif mendepani permasalahan umat. SubhanAllah, ribuan lagi tokoh dan ilmuwan Islam mendidik dan berbakti dengan jujur menjaga penjuru-penjuru Islam. Kini giliran kita pula!

Bangkitlah Pemuda!

Pemuda Islam, kini harapan di tangan anda, apakah anda mahu bersama kapal penggerak umat ini? Kata Hilal Asfraf, anak muda kreatif dan luarbiasa ini dan pengasas LangiIlahi.Com, “Irkam Ma’ana” – marilah menaiki bahtera kekuatan. Mari kita bersama dalam bahtera ini. Setiap kita bertanggungjawab menjaga penjuru-penjuru Islam yang luas ini. Ayuh mari kita persiapkan diri. Barangsiapa yang tidak bersiap untuk menguasai mana-mana penjuru dan tidak mahu menguasai suatu bidang yang menjadikannya sebagai “pembuat kehidupan”, sebaliknya memilih untuk menjadi mahasiswa penggiat skrin, dengan menonton movie, video game, facebook (sehingga lara), atau syok bercinta di jalan yang keruh, maka bahtera kekuatan ini tidak akan menunggu anda, kerana kami yakin, di luar sana, masih ada ramai hati-hati yang serius dan bersungguh untuk menyertai bahtera ini.

Bangkitlah pemudaku, berusahalah menjadi pemuda dan mahasiswa yang gagah berani, siap untuk menempuh ujian dan beban, yang hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemuliaan Islam dan generasi seperti inilah yang sanggup memikul amanah membela umat dan Deen Islam, serta bersedia berkorban menghadapi tribulasi perjuangan dengan penuh kesabaran. InsyaAllah, cita-cita ini akan mendapat kebaikan, keampunan dari Allah dan syurga yang tidak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang muflih (beruntung). Bangkitlah untuk menyertai bahtera kekuatan.

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” ( At-Taubah : 88).

Kata semangat dari Ruhul Jadid; Bangkitlah hai pemuda Islam, Kau tunas harapan penuh penantian. Wujudkanlah cita dan impian dengan kekuatan kita akan berjaya. Bergerak ke hadapan raih kemenangan, ya untuk meraih kemenangan..!

Ya, apakah anda tidak mahu menyertai bahtera kemenangan? Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa Deen dan umat ini akan terus terbela, dan marilah kita berharap bahawa kita tergolong dalam golongan yang menguatkan sendi dan penjuru Islam itu.

“Perkara ini (agama Islam) akan merebak ke segenap penjuru yang ditembusi malam dan siang. Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun baik gedung mahupun gubuk melainkan Islam akan memasukinya sehingga dapat memuliakan agama yang mulia dan menghinakan agama yang hina. Yang dimuliakan adalah Islam dan yang dihinakan adalah kekufuran” (HR Ibnu Hibban)

Semoga ini tidak hanya menjadi retorik kosong umpama tin kosong, semangat mengatakan cinta kepada Islam, tetapi apabila dibuka, isinya kosong. Semangat tidak memadai, ianya perlu diiringi dengan tekad dan usaha jitu, sebagai mahasiswa mulakan pecutan anjakan paradigma menuju Alim Mujahid, menguasai ilmu dan menyiapkan diri menjadi “penjaga” penjuru Islam dan bekerja untuk meninggikan Islam. Mahasiswa yang belajarnya berorientasikan akhirat dan mereka berhempas pulas belajar dan cemerlang kerana kecintaan akhirat. Berusaha menjadi yang terbaik kalangan terbaik kerana kita adalah sebaik-baik ummat dan sebaik-baik ciptaan. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan hidayah-Nya, dan diberikan kekuatan.

Selamat beraksi!

1 comments:

  1. http://baikiminda.blogspot.com/2011/06/orang-muda.html

    ini macam penulisan saya dulu je.

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah