Lima Topik Perbahasan Dalam Surah
Dr. Wahbah al-Zuhailiy (2007) dalam bukunya Tafsir
al-Munir (Juzuk Amma), menjelaskan secara terperinci tentanglima topik
perbahasan utama dalam Surah al-Ma’un. Antaranya dinyatakan secara
ringkas seperti dalam gambar rajah berikut:
1. Golongan Pendusta Hari Pembalasan
2. Sifat-sifat Pendusta Hari Pembalasan
3. Kepentingan Menjaga Solat
4. Keikhlasan Tunjang Ibadat
5. Bantu membantu Asas Perpaduan
1. Golongan Pendusta Hari Pembalasan
Allah memulakan ayat
pertama dalam surah al-Ma’un dengan gaya bahasa “istifham” atau
teknik soalan iaitu { ارءيت }. Allah S.W.T. mahu mengetengahkan
persoalan dan menunjukkan kehairanan serta keanehan terhadap sikap manusia.
Iaitu golongan yang mendustakan hari pembalasan atau hari kiamat. Manusia yang
tidak percaya kepada hari pembalasan adalah contoh golongan manusia yang rugi.
Mereka mengkufuri Allah, agama dan segala nikmat-nikmaNya. Antara faktor utama
yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana:
- Keasyikan dan kenikmatan hidup di dunia
serta godaannya yang melalaikan manusia. Perkara ini berlaku kerana manusia
terlalu mementingkan soal-soal duniawi serta kurang pula menunaikan kewajipan
mereka kepada Allah S.W.T.
- Syaitan sentiasa menghasut dan membisikkan
ke dalam hati manusia supaya mengelakkan diri daripada melakukan perintah Allah
S.W.T. dan syaitan sentiasa inginkan manusia lalai daripada beribadat
kepadanya.
- Sifat manusia itu sendiri yang angkuh dan
bongkak untuk menerima kebenaran, tunduk serta mengabdikan diri kepada Allah
S.W.T.
- Tidak kurang juga wujudnya segolongan
manusia yang menggesa orang lain ke arah kejahatan dan menjauhi kebajikan.
2. Sifat-sifat Pendusta Hari Pembalasan
Siapakah golongan yang
mendustakan hari pembalasan? Persoalan itulah yang cuba diajukan oleh Allah
S.W.T. dalam ayat pertama lagi. Jawapan bagi persoalan tersebut terjawab dalam
ayat kedua dan ketiga. Antara sifat manusia yang mengingkari dan mendustakan
hari pembalasan ialah:
- Manusia yang suka mengherdik anak-anak yatim { فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ}
Mereka menghalau, menafikan hak, menindas dan menganiaya anak-anak yatim
tanpa rasa belas kasihan. Anak-anak yatim sepatutnya dibantu dan dikasihani
kerana mereka adalah golongan yang kematian bapa mereka sebelum usia baligh.
Dalam keadaan sedemikian anak-anak yatim ini tida tempat bergantung dan
mengharapkan bantuan.
- Manusia yang tidak menggalakkan manusia lain
memberi makan kepada fakir miskin { وَلا
يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ }. Golongan kedua ini tidak suka
menggalakkan orang lain bersedekah makanan dan minuman kepada golongan miskin
dan mereka yang memerlukan bantuan dan keperluan harian. Ini kerana sifat
bakhil dan keengganan mereka mengakui hari pembalasan. Golongan yang
dimaksudkan dalam ayat di atas ialah golongan kaya dan berada tetapi bersifat
bakhil untuk bersedekah dan juga tidak menggalakkan orang lain untuk
bersedekah. Sekiranya ada orang Islam yang tidak menggalakkan, menyekat atau
pun memandang rendah perbuatan memberi sedekah kepada orang miskin, maka dia
tergolong dalam golongan orang yang mendustakan agama.
3. Kepentingan Menjaga Solat
Golongan yang lalai dalam
solat dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam ayat keempat dan kelima dalam surah
al-Ma’un. Antara lain Allah menyebut dalam ayat keempat { فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ } dan ayat
kelima { الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ }
. Allah S.W.T. mengancam dengan balasan neraka al-Wail atau
kecelakaan besar dan kebinasaan terhadap mereka yang lalai dalam menunaikan
kewajipan bersolat. Antara kelalaian yang dalam solat yang disebutkan itu
ialah:
- Kelalaian dalam melaksanakan ibadat dengan
sempurna berlandaskan syariat Islam seperti tidak menyempurnakan
rukun-rukun solat atau syarat-syarat sah solat dan sebagainya.
- Kelalaian untuk melaksanakan solat pada
waktunya. Sebaliknya melewat-lewatkan solat hingga hampir tamat waktunya, atau
menunaikan solat sambil lewa sahaja iaitu mereka menunaikan solat dalam keadaan
malas. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Nisa’ : 142: Maksudnya:
“Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka
berdiri dengan malas”.
- Kelalaian untuk khusyuk dalam solat kerana
tidak memahami isi kandungan solat tersebut seperti makna ayat-ayat al-Quran,
tasbih dan zikir yang diucapkan dalam ibadat tersebut. Ertinya kita tidak
khusyuk semasa menunaikan solat. Ia dianggap lalai dan leka dalam solatnya. Maksudnya:
"kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang
mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);"
4.
Keikhlasan Tunjang Ibadat
Keikhlasan adalah tunjang
dalam semua jenis ibadat. Kita mestilah sentiasa ikhlas dalam beribadat, jangan
sekali-kali riak dan bertujuan menunjuk-nunjuk. Dalam ayat keenam surah
al-Ma’un ini, Allah S.W.T. menjelaskan tentang keburukan sifat-sifat golongan
Munafiqin yang melakukan ibadat dengan riak { الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ }. Mereka ini
dikatakan golongan yang menunaikan solat semata-mata untuk menunjukkan keimanan
mereka kepada khalayak ramai. Apabila orang Islam tidak ada mereka akan
meninggalkan solat mereka dan kembali kufur.
Sememangnya amat sukar
untuk menghindari perasaan riak kecuali orang yang suka mendisiplinkan diri dan
mengasuhnya agar bersifat ikhlas. Sabda Rasulullah s.a.w.
(
الرياء أخفى من دبيب النملة السوداء في
الليلة المظلمة على المسح الأسود )
Maksudnya:
Riak itu lebih sukar dikesan daripada semut hitam yang
kecil, di malam yang gelap, di celah-celah cemara rambut yang hitam.
5. Memberi Bantuan
Ayat terakhir surah
al-Ma’un ditujukan kepada orang-orang yang enggan memberi pertolongan sesama
manusia. Ianya salah satu lagi sifat keji golongan Munafiqin. Mereka tidak mahu
membantu orang lain dan tidak menggalakkan budaya bantu membantu sesama manusia.
Sikap bantu membantu di
kalangan masyarakat adalah asas perpaduan umat sejagat. Sikap bantu
membantu seharusnya diterapkan dalam kehidupan masyarakat. Bagi membentuk dan
membina kehidupan umat manusia yang luhur, mereka perlu hidup dalam perasaan
yang bersih dari sifat-sifat keji, saling bantu membantu, murah hati, kasih
mesra, rasa persaudaraan, kesucian hati dan tingkah laku yang bersih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah
al-Maidah ayat 2:
Ertinya : “Bertolong-menolonglah kamu dalam perkara
kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan
pemusnahan."