Sunday, August 28, 2011

Mengambil Pelajaran Dari Madrasah Ramadhan (1)


Sebentar lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Hari-hari ketika pahala membaca satu huruf dalam Al Quran sama dengan pahala mengkhatamkan Al Quran pada bulan-bulan yang lain akan segera berlalu. Hari-hari ketika pahala 1 amalan wajib sama dengan pahala 70 amalan wajib di bulan lainnya akan segera berakhir. Hari-hari di mana pintu-pintu surga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup akan segera berlalu. Ya, saya dan anda semua perlu menerima hakikat, Ramadhan akan berakhir. Persoalannya apakah yang dapat kita belajar pada Ramadhan kali ini?

Ada suatu hikmah besar yang saya belajar dari Tarbiyah Ramadhan. Mendidik penulis untuk tidak pudar semangat dan merasa bosan dalam beramal. Apatah lagi amal itu akan diganjari dengan pahala tanpa batas. Makin menjadi ghirah lagi apabila Allah SWT yang akan menilai setiap puasa kita nanti. Dari Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW barsabda, Allah SWT berfirman, “Setiap amal anak Adam adalah miliknya kecuali puasa. Puasa itu adalah milik-Ku, dan Akulah yang akan memberi pahalanya.“ (HR. Bukhari dan Muslim)

Ganjarannya luar biasa, keampunan, maghfirah dan pembebasan dari azab api neraka. Apakah anda tidak teruja dan terliur dengan ganjaran luarbiasa ini, yang tidak akan ada mana-mana kerajaan dapat menawarkannya. Percayalah!.

Kesemua pakej latihan di bulanRamadhan; puasa, tarawih, berbuka, bersahur, iktikaf, zikrullah, tilawah, qiamulail, sedeqah, ziarah, berbuat kebaikan, memelihara pancaindera dan pelbagai lagi amalan telah disertakan dengan pakej imbuhan dan ganjaran yang menarik. Terbaik cara Allah SWT mendidik manusia. Lumrahnya manusia tidak akan mudah bosan melakukan sesuatu kerana mereka faham kerja yang dilakukan akan diberikan ganjaran. Sebab itu kita melihat manusia bekerja mencari rezeki bertungkus lumus bahkan ada yang sanggup bekerja seawal pagi dan pulang lewat kerana mengejar ganjaran. Setiap hari mereka begitu. Kenapa? Kerana kejar ganjaran dan capai kesenangan. Namun kadang-kadang mereka ini akan rasa penat, hilang semangat kerja dan mula kebosanan. Kenapa pula? Mungkin kerana mereka bosan dengan ganjaran yang mereka kejar, dapat tapi tidak beroleh kepuasan. Pelik bukan?

Dalam bulan Ramadhan, yang hendak memberikan ganjaran kepada kita bukan imam masjid atau Menteri Besar, tetapi Allah SWT, yang amat memahami perasaan dan jiwa manusia. Makin menarik lagi kerja amal yang kita buat di sepanjang Ramadhan adalah amalan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Justeru Allah SWT memberikan pakej tarbiyah yang menarik buat golongan beriman. Ya, hanya yang beriman sahaja teruja dengan tawaran ini. Bagi yang tidak “clear” imannya lagi, respon dan sikapnya pada Ramadhan hanyalah biasa-biasa. Sebab itu kita akan lihat, masjid dan surau penuh hanya minggu pertama Ramadhan, selepas itu mula berkurangan. Sudah bosan dan kelelahan barangkali mereka yang hadir di minggu pertama itu. Atau tidak yakin dengan ganjaran Allah SWT? Bagi generasi beriman, ia tetap setia menelaah dan menyerap tenaga Ramadhan menyebabkan mukmin itu tidak pernah rasa bosan, lemah dan penat beramal. Generasi ini berjaya merasai Ramadhan telah memberi kekuatan dan rawatan pada jiwanya. Lantas dia rasa nikmat beramal. Siap siaga meneruskan amalan-amalan wajib dan amalan yang disunatkan tanpa jemu.

Rasa bosan adalah perkara biasa. Tetapi rasa bosan untuk beramal dalam bulan Ramadhan adalah petanda hati kita ada masalah. Sebenarnya kita boleh menghadapi pemikiran cepat bosan ini apabila kita sedar bahawa tugas dan tanggungjawab berubudiyyah ini adalah satu arahan dari Allah SWT. Merasa kebosanan adalah kerana tidak faham tugas dan tanggungjawabnya sebenar. Merasa bosan beramal dalam bulan Ramadhan adalah kerana kita tidak faham erti ibadah dan erti ubudiyyah.

30 hari latihan yang “real” dalam Ramadhan seharusnya melahirkan muslim yang thabat (teguh), konsisten dan tidak mudah bosan dalam melakukan sesuatu rutin harian. Kita merasa sedemikian kerana kita menyahut dan melaksanakan amanah Allah. Ada lagi ke amanah yang lebih besar selain dari amanah dari Allah SWT? Selepas Ramadhan kita akan menemui kunci mengekalkan rentak konsistensi kita untuk terus bekerja, beramal dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan sabar, tetap pendirian, bersemangat, konsisten dan tidak mudah rasa bosan. Kenapa? Kerana kita sudah faham dan menemui makna sebenar mengapa kita perlu berasa sedemikian, iaitu kerana Allah dan hanya Allah SWT yang akan menilai setiap kerja kita. Ya! Ianya amanah dari Allah SWT.

Sekarang kita sudah menemui jawapannya, mengapa kita mudah merasa bosan. Pelajar merasa bosan untuk belajar kerana dia tidak faham bahawa belajar adalah satu amanah. Pekerja merasa bosan kerana dia tidak faham kerjanya adalah satu amanah. Sang da’i merasa bosan dan lelah kerana masih tidak faham bahawa tugas dakwah adalah tugas wajib saat ini. Apabila tidak memiliki kefahaman yang jelas, maka kita akan kehilangan keikhlasan dalam bekerja. Bila hilang keikhlasan kita akan mula mencari-cari alasan untuk mengurangkan produktiviti bekerja, beramal, belajar dan sebagainya. Kita sudah tertipu dengan diri kita sendiri. Mencari asalan untuk menipu diri sendiri.

Jadi, bagaimana kita boleh belajar dari pakej latihan “real” dalam Ramadhan untuk kita aplikasikan dalam kehidupan agar kita tetap bersemangat, konsisten dan tidak mudah merasa bosan dalam kerja harian kita?

Pertamanya, pembinaan kecerdasan spiritual (ruhi). Ramadhan melatih setiap hari agar kita ada “networking” dengan Allah, sejak pra Ramadhan lagi. Bahkan pada 10 hari terakhir, Rasulullah SAW beriktikaf sepanjang hari di masjid. Rasulullah sendiri tidak pernah jemu membina HDA baginda dengan Allah SWT walaupun baginda adalah seorang Rasul. Bagaimana dengan kita. Pada saat ini bagaimana tahap kecerdasan HDA kita? Apa itu HDA; Hubungan Dengan Allah. Makin jelas dan kuat HDA kita, insyaAllah hati kita akan di"rasuk" oleh keimanan, bukan lagi emosi negatif, hawa nafsu dan pengaruh syaitan durjana.

Kita akan menjadi kuat untuk melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat di bulan Ramadhan dan pasca Ramadhan kerana faktor HDA, bukan kerana yang lain. Inilah nilai spiritual yang kita hendak bina. Dengan itu kita akan mula memiliki kejelasan matlamat dalam bekerja. Buat sesuatu kerana Allah dan mengharap redha Allah. Belajar kerana Allah, mencari rezeki kerana Allah, beramal ibadah kerana Allah, menjadi Pengurus, Pengetua, Pentadbir, Pemimpin kerana Allah. Menjadi driver, tukang kebun, tukang sapu dan sebagainya kerana Allah. Apabila kerana Allah, hati kita akan menolak unsur negatif yang mensabotaj pekerjaan kita. Perilaku kita akan benar dalam tindakan beramal, tidak menipu dan berpura-pura rajin di depan orang. Pakej Ramadhan melatih kita memiliki HDA yang kuat dan luarbiasa.

Maka itu, formula asas untuk hidup bagi setiap muslim perlu diawali dengan tujuan hidup yang diredhai Allah SWT dan mengaktifkan HDA pada setiap masa dan ketika. Dengan itu ia akan melaksanakan setiap aktivitinya dengan ikhlas, berhati-hati (jangan sampai melencong dari tujuan sebenar), dan berkualiti. Inilah yang dikenali dengan istilah ihsanul-'amal (pekerjaan yang berkualiti dilihat atau tidak dilihat orang, kerana yakin Allah SWT pasti melihat si pelaku pekerjaan tersebut). Inilah tingkat HDA yang tertinggi.

Bersambung...

2 comments:

  1. Syukran. Perkongsian dan peringatan yg amat bagus. Selamat hari Raya.

    ReplyDelete
  2. Askm.. Jazakallah..x sabar menanti sambungannye.. cukup menyedarkan diri saya yg sering mencari kekuatan dari latihan ramadhan..tq cikgu..

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah