Sunday, October 03, 2010

Jenayah Kehidupan


Hidup itu perlu bergerak dan dinamik. Bagi yang memahami makna hidupnya, kehidupannya pasti bergerak kehadapan. Sebenarnya, sukar memaknai erti hidup sekiranya tidak kenal siapa dirinya sendiri. Dan setiap orang tentu akan berbeza-beza memberi respon kepada makna hidupnya, sesuai dengan perjalanan dan arah hidup yang dia lalui.

Tuntunan Allah SWT dalam Al Qur‘an dan petunjuk Rasulullah SAW mengajarkan hidup adalah ibadah, hidup adalah ladang amal, hidup adalah medan perjuangan. Tapi semua orang akan mempunyai lorong sendiri sendiri dalam mahu memahaminya. Ada yang masih mencari-cari makna kehidupan, ada yang tidak mahu mencari, ada yang sudah menemui lantas hidupnya berprestasi, ada yang sudah menemui tetapi melupakannya dan kembali kepada kehidupan yang kosong, ada yang terumbang ambing dan bercampur baur makna kehidupan pada dirinya.

Syeikh Muhammad Al Ghazali, ulama muktabar pernah berkata bahawa kefahaman hidup yang dangkal adalah sebuah jenayah yang keji. Disebut demikian kerana kefahaman kehidupan yang dangkal ini akan membawa kepada ketersesatan dari jalan menuju akhirat yang bahagia. Contohnya, jika seseorang remaja memandang kehidupannya adalah untuk bersukaria, maka dia akan tenggelam dengan cara hidup keseronokan semata, bagi seorang mahasiswa yang memahami hidup adalah untuk mencari kekasih hati, maka dia akan kemaruk dengan denyutan cinta palsunya, bagi seseorang yang merasaikan hidup adalah mencari kekayaan, boleh jadi ia akan menghalalkan segala cara untuk memperoleh harta, tidak memperdulikan apakah ianya halal atau haram. Apakah ibu bapa yang tidak mengerti erti amanah memiliki anak pada diri mereka, maka anak-anak mereka tidak kenal Tuhannya.

Haiwan juga ada kehidupan, semua makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini ada corak kehidupannya. Perbezaan antara manusia dengan haiwan terletak pada cara bagaimana mereka memenuhi pelbagai keperluannya. Haiwan melakukan semua itu sekehendak hatinya sedangkan manusia ada yang melakukan sekehendak hatinya, ada pula yang mengikut apa yang telah dipandukan oleh Allah SWT, Penciptanya.

Jika manusia dalam menjalani hidupnya ini hanya sekadar untuk memenuhi keperluan hidupnya semata, bererti tidak ada bezanya orang tersebut dengan haiwan. Demikian pula, jika seseorang menjalani hidup ini seenak perutnya, bebas tanpa aturan, memperturutkan logik dan hawa nafsunya, serta melupakan aturan Allah SWT, saat itu orang tadi tidak dapat dibezakan dengan haiwan. Berkaitan dengan ini Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam itu kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai qulub tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakannya untuk melihat (kebenaran dan kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raf : 179)

Ibnu Kathir ketika memaknai ayat tersebut menyatakan bahawa Allah SWT menyediakan jahannam bagi manusia yang melakukan perbuatan-perbuatan penghuni jahannam. Ini kerana alat pancaindera yang sebenarnya dijadikan oleh Allah SWT sebagai jalan datangnya hidayah tersebut tidak bermanfat bagi mereka. sebaliknya mereka itu buta, tuli, dan bisu dari mengikuti petunjuk Allah SWT. Mereka yang tidak mendengarkan kebenaran (Islam), tidak mengikuti kebenaran (Islam), dan tidak mengikuti petunjuk Allah SWT laksana haiwan berjalan yang alat-alat pancainderanya tidak bermanfaat sedikitpun kecuali untuk perkara-perkara yang diperlukannya secara lahiriyah di dunia.

Lantas bagaimana seharusnya manusia itu berbuat di atas muka bumi ini, sehingga hidupnya menjadi bermakna dan berbeza dengan haiwan? Apakah kita telah melakukan jenayah atas kehidupan kita sendiri?

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah