Ukhwah ialah, 'Hati dan jiwa ditautkan dengan akidah'. 'Akidah adalah ikatan yang paling kuat dan berharga. Ukhwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati (terhadap saudara seIslam) dan yang paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain daripada diri sendiri) (Hasan Al Banna)
Keimanan yang selalu bersinar terang akan menyalakan kepekaan ukhwah. Hasasiyah ukhwah ini akan semakin dinamik apabila dilakukan secara dua hala. Sehingga semua pihak menahan diri untuk hanya menikmati ukhwah orang lain. Akan tetapi masing-masing pihak berusaha untuk dapat menyenangkan teman dan sahabat disekitarnya. Menjadi kepuasan bagi dirinya apabila kebaikannya dapat dirasai oleh orang lain.
Lihatlah sejarah manusia-manusia pilihan yang telah mengukir indah peradaban orang-orang yang beriman. Mereka tidak bakhil pada orang lain akan kelebihan dirinya. Mereka tidak pula dengki pada kebaikan orang lain. Mereka merasa bahagia apabila orang lain dapat merasakan kebaikan dirinya. Dan mereka duka apabila orang lain menjadi susah lantaran tindakan dan sikap dirinya .
Rasulullah saw. tersenyum melihat seorang sahabat yang telah membuktikan sikap ukhwahnya pada saudaranya yang lain. Beliau mendapatkan informasi bahawa sahabat tersebut menjamu tamunya dengan hidangan yang diperuntukkan untuk keluarganya. Agar tamunya berselera menyantap hidangannya, dia matikan lampu rumah sehingga makanan yang disajikan tidak dapat dilihat oleh tamunya. Perkara itu dilakukan untuk menghilangkan rasa segan tamunya untuk menjamu selera. Dia tidak mahu tamunya mengetahui bahawa hidangan itu adalah hidangan terakhir untuk keluarganya pada malam tersebut. Ditambah lagi hidangan yang tersedia hanya cukup untuk seorang. Justeru untuk menyenangkan hati tamunya, tuan rumah berpura-pura sedang menjamu makanan tersebut bersama-sam dengan berselera sekali. Sikap inilah yang mendapatkan senyuman malaikat dan membuat senang hati Rasulullah saw.
Juga ketika Rasulullah saw. membangun Madinah sebagai pusat aktiviti muslim, baginda mempersaudarakan sahabat Muhajirin dan Ansar. Diantaranya Abdurrahman bin Auf ra. dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’i ra. Dengan hati yang tulus Saad bin Rabi’ mengatakan:
“Aku memiliki beberapa perniagaan silakan ambil mana yang kau cenderungi. Dan aku mempunyai beberapa isteri silakan lihat mana yang menarik hatimu. Akan aku ceraikan dia dan nikahilah setelah selesai masa iddahnya”. “Semoga Allah senantiasa memberkahi dirimu dan keluargamu, terima kasih atas penawaranmu. Akan tetapi lebih baik bagiku engkau tunjukkanlah padaku dimana pasar?”. Jawab Abdurrahman bin Auf ra.
Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampung.
Malaikat itu bertanya, “Ke mana kamu hendak pergi?”
Jawab lelaki itu, “Aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini”.
Malaikat itu bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?”
Lelaki itu menjawab, “Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah.”
Kemudian malaikat itupun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya”.
Betapa manisnya kehidupan orang-orang yang beriman. Mereka dapat memposisikan dirinya secara tepat. Mereka dapat merasakan kesusahan dan kebahagiaan saudaranya. Mereka tahu betul apa yang mesti dilakukan untuk orang lain. Mereka menyayangi rakan dan sahabatnya kerana Allah. Mereka akan merasa sedih apabila tidak mampu berbuat sesuatu kebaikan untuk teman dan sahabatnya.
Ukhuwah orang mukmin merupakan ikatan iman yang berdasarkan manhaj Allah dan terpancar dari rasa taqwa, ia merupakan tujuan suci, cahaya rabbaniyah sekaligus nikmat ilahiyah. Dari Nu’man bin Basyir, Rasulullah bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mu’min dalam saling cinta, saling belas kasihnya dan saling perhatiannya laksana badan, jika ada salah satu anggota badan yang sakit, maka yang lainnya akan merasakan, tidak boleh tidur dan demam (panas).” (Muttafaqun ‘Alaih)
Diriwayatkan dari Abu Malik Al-Asy’ari sesungguhkan Rasulullah s.a.w bersabda;
“ Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang bukan dari golongan Anbiya’ dan juga bukan dari golongan para syuhada’. Mereka dicemburui oleh para anbiya’ dan para syuhada’ kerana ketinggian kedudukan mereka disisi Allah.”. Para sahabat bertanya, “ Wahai Rasulullah, beritahulah kami siapakah mereka itu?”. Rasulullah menjawab.” Mereka adalah golongan yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian persaudaraan antara mereka dan bukan kerana harta benda.” Demi Allah muka mereka adalah cahaya dan mereka adalah di atas cahaya. Mereka tidak takut meskipun manusia lain berasa takut dan tidak bersedih ketika orang lain bersedih. Lalu baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “ Ketahuilah sesungguhnya penolong-penolong agama Allah itu mereka tidak takut dan tidak juga bersedih hati.”(10:62) ( Hadith Riwayat Ahmad)
Ya Allah! Perbaikilah ukhwah kami!
0 comments:
Post a Comment